Sunday, 30 October 2011

Wah, Cantiknya Kamu...






WAH,CANTIKNYA KAMU . . .


Pintu Rezeki on Wednesday, October 19, 2011 at 9:17pm


Subhanallah ramai bukan wanita cantik di dunia ni. Lihat sahajalah di sekeliling kita, kawan-kawan kita, ahli keluarga kita, sanak-saudara dan mereka yang tidak kita kenali. Subhanallah indahnya Allah ciptakan wanita yang cantik sebegini rupa. 

Kita juga cantik bukan? Ya, kita cantik. Katakan pada diri, “Saya seorang yang cantik.” Syukuri nikmat yang Allah kurniakan dengan Alhamdulillah.


Cantik…sinonim dengan wanita. Jika lelaki, mungkin lebih selesa kita gunakan perkataan kacak. Setuju dengan saya? Cantik, comel, ‘cute’ antara variasi kosa kata menggambarkan fizikal, raut wajah, santun budi bicara, dan banyak lagi yang akhirnya pasti dituju buat wanita.

Namun, CANTIK ni membawa pelbagai konotosai, takrifan dan pandangan hingga akhirnya menenggelamkan nilai sebenar makna cantik itu. Cantik sekarang hadir dengan kayu ukur masyarakat, dibanding-bandingkan dengan materialistik, disogok dengan ideologi dan kefahaman yang dibawa oleh Barat dan diterapkan dalam minda masyarakat bahawa hanya satu pandangan tentang cantik yang diterima pakai.

Wanita semakin tenggelam dengan kalimah CANTIK. Kita semakin hanyut dengan kefahaman bahawa mereka yang cantik perlu membuka aurat, mereka yang cantik perlu memakai alat solek yang tebal, mereka yang cantik perlu ada pendamping dari kaum lelaki dan mereka yang cantik itu ialah wanita yang liberal, bebas menurut kehendaknya, meneroka dunia dengan setipis rasa malu, meletakkan diri sebaris dengan budaya yang diagungkan Barat dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan nilai Islam. Fesyen . . . itu yang kita kejar.

Dengan fesyen, kita boleh jadi cantik. Fesyen mampu mengubah pandangan dunia terhadap wanita hingga akhirnya . . . hanyut jauh dari fikrah sebenar penciptaan wanita.

Bila dah cantik, ini yang kita ingin tayangkan pada seisi dunia. Adik lelaki saya pernah mengomen sebuah iklan pelangsingan badan, “Masa ber’isi’ pakai tutup, bila dah langsing, habis semua nak tayang.” Terkedu saya. Tapi itu hakikat. Bila berjaya mencapai kayu ukur cantik dunia, terus dilondehkan sifat malu, lenyap ditelan pandangan masyarakat yang memuji kecantikan yang berjaya diraih.

Lihat saja eksploitasi dunia terhadap wanita, lihat saja iklan-iklan yang didominasi kaum kita, adakah keCantikan ini yang ingin kita kejar dan capai? Murahnya kecantikan wanita jika hanya dibeli dengan harga dunia.

Demi cantik, kita kikis sifat malu. Demi meraih perhatian masyarakat, kita buang sifat malu. Demi mencapai kayu ukur dunia, kita hapuskan sifat malu. Akhirnya inilah nilai wanita yang tinggal . . . hanya cantik.

Wanita + cantik – malu = dunia

Astaghfirullah

Kembali kita kepada Allah. Wahai muslimah yang saya kasihi kerana Allah. Wahai muslimah yang Allah cipta diibaratkan mampu menggoncang dunia dengan hanya hayunan buaian. Di mana kita sebenarnya? Ke mana kecantikan ini yang kita ingin bawa akhirnya? Untuk apa Allah kurniakan kelebihan ini buat kita, kaum Hawa?

Maryam, wanita yang Allah pilih rahimnya untuk melahirkan seorang Nabi. Maryam yang Allah tempatkannya dalam lindungan keluarga yang soleh dan berIman. Malunya dijaga, sahsiahnya terpuji, ibadahnya cemerlang.

Telah Allah pelihara hatinya, jiwanya disediakan untuk menjadi ibu kepada seorang utusan Allah yang bakal membawa risalah kebenaran. Allah pelihara kecantikannya untuk Nabi Isa. Allah pelihara kecantikannya, untuk menjadi sirah teladan buat wanita yang lain. Cantiknya nilaian Allah, malunya untuk Allah dan kelebihan ini Allah sediakan untuk seorang Nabi.

Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?”

Ia menjawab: “Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya.

(Surah Maryam 19:20-21)


Kita lihat kembali sirah di mana Allah buktikan kekuasaanNya dalam penciptaan wanita. Kehadirannya bukan untuk menggoncang naluri Adam, tetapi mendamping dengan taat dan sabar.

Kehadirannya bukan untuk mengaburi mata Adam akan kuasa dan rahmat Allah, tetapi untuk sama-sama mensyukuri kurniaan yang seluas alam ciptaanNya. Wanita, kita hadir untuk melengkapkan, menguatkan, menjadi suri tauladan dan akhirnya akan kembali kepada Allah dengan penuh ketaqwaan.

Yakinlah dengan kecantikan yang Allah kurniakan buat kita ini, adalah untuk kembali meraih rahmat dan kasih sayangNya. Jangan kita gunakan kecantikan ini untuk kita palingkan wajah Allah dari kita. Saat itu, kita hanya ada cantik, tapi kita sudah tiada perhatian dan kasih sayang Allah. Nauzubillahiminzalik.

Jadilah wanita cantik yang solehah, yang tinggi sifat malunya, yang cemerlang ibadahnya, yang berjaya dengan ilmu pengetahuannya. Jadilah kita wanita cantik yang menyejukkan jiwa-jiwa yang basah dengan kalimah Allah, wanita yang menggoncang dunia melahirkan pahlawan dan serikandi Islam seperti sirah di zaman nabi. Akhirnya, kita akan kembali kepada Allah dengan membawa kecantikan ini untuk syurgaNya.

Wallahualam.




 ·  · Share

No comments:

Post a comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...